Pantun Kasih
Nasi lemak buah bidara
sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara
kerana kekasih hamba turutkan
Dua tiga kucing berlari
mana nak sama si kucing belang;
Dua tiga boleh kucari
mana nak sama dikau seorang
Tanam selasih di tengah padang
sudah bertangkai dihurung semut;
Kita kasih orang tak sayang
halai-balai tempurung hanyut
Anak beruk di kayu rendang
turun mandi ke dalam paya;
Hodoh buruk di mata orang
cantik manis di mata saya
Limau purut lebat di pangkal
sayang selasih condong di uratnya;
Angin ribut dapat ditangkal
hati kasih apa ubatnya
Nasi lemak buah bidara
sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara
kerana kasih saya turutkan
Sekali pergi menuba
sekali ikan merimbat;
Sekali adik disapa
setahun rindu terubat
Pantun Nasihat
Apa guna berkain batik
kalau tidak dengan sucinya;
Apa guna beristeri cantik
kalau tidak dengan budinya
Pulau Pandan jauh ke tengah
gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah
budi baik dikenang jua
Siakap senohong
gelama ikan duri;
Bercakap bohong
lama-lama mencuri
Pisang emas dibawa belayar
masak sebiji di atas peti;
Hutang emas boleh dibayar
hutang budi dibawa mati
Tenang-tenang air di laut
sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut tersebut
budi baik rasa nak sanjung
Tingkap papan kayu bersegi
sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi
tinggi bangsa kerana bahasa
Ada ubi
ada batas;
Ada budi
ada balas
Pantun Sindiran
Mengata dulang
paku terserepih;
Mengata orang
kamu yang lebih
Sudah gaharu
cendana pula;
Sudah tahu
bertanya pula
Puas sudah kutanam padi
nenas juga dimakan orang;
Puas sudah kutanam budi
emas juga dipandang orang
Buah langsat kuning mencelah
senduduk tidak berbunga lagi;
Sudah dapat gading bertuah
tanduk tidak berguna lagi
Pinggan tak retak
nasi tak dingin;
Engkau tak hendak
aku tak ingin
Pantun Pelbagai
Buah cempedak di luar pagar
ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar
kalau salah tolong tunjukkan
Kalau ada sumur di ladang
boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang
boleh kita berjumpa lagi
Kalau roboh Kota Melaka
papan di Jawa hamba dirikan;
Kalau sungguh bagai dikata
badan dan jiwa hamba serahkan
Chau Pandan anak Bubunya
hendak menyerang kota Melaka;
Ada cincin berisi bunga
Bunga berladung di air mata
Kalau ada jarum yang patah
jangan disimpan di dalam peti;
Kalau ada silap dan salah
jangan disimpan di dalam hati
Kalau subang sama subang
kalau sanggul sama sanggul;
Kalau hilang sama hilang
kalau timbul sama timbul
Pantun Berkait
Kupu-kupu terbang melintang
terbang di laut di hujung karang *
Hati di dalam menaruh bimbang
dari dahulu sampai sekarang *#
Terbang di laut di hujung karang *
burung nasur (nasar) terbang ke Bandan *#*
Dari dahulu sampai sekarang *#
banyak muda sudah kupandang *#*#
Burung nasur terbang ke Bandan *#*
bulunya lagi jatuh ke Patani *#*#*
Banyak muda sudah kupandang *#*#
tiada sama mudaku ini *#*#*#
Bulunya lagi jatuh ke Patani *#*#*
dua puluh anak merpati
Tiada sama mudaku ini *#*#*#
sungguh pandai memujuk hati
Sumber: http://wikisource.org/wiki/Pantun